Thursday, January 31, 2008

Ubat Perangsang Seks Palsu


KAJANG: Dilihat dari halaman rumah ia tampak seperti kediaman biasa, namun sebuah rumah di Bandar Mahkota di sini, menyimpan rahsia menggemparkan apabila dikesan menjadi ‘gudang’ rahsia ratusan jenis ubat-ubatan perangsang seks haram bernilai hampir RM1 juta.Difahamkan pemiliknya, menjadikan rumah teres dua tingkat terbabit yang dibeli di lokasi tersorok sebagai pusat penyimpanan produk Viagra, Cialis, Levitra tiruan selain pelbagai kapsul perangsang seks yang diseludup dari luar negara.

Risikan hampir sebulan mendapati pemilik rumah terbabit yang bekerja di sebuah kedai ubat menjadi dalang utama mengedarkan semua ubat perangsang seks haram ke seluruh negara.Dia yang mendiami rumah itu bersama isteri dan bayinya berusia lapan bulan turut didapati bertanggungjawab memalsukan logo hologram Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara besar-besaran untuk ditampal sesuka hati pada kotak produk bagi mengelirukan pengguna. Kegiatan lelaki berusia 30-an itu akhirnya terbongkar selepas sepasukan 40 pegawai Bahagian Penguat kuasa Farmasi KKM menyerbu rumah terbabit jam 11 pagi, semalam.

Dalam serbuan yang diketuai Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Eisah Abdul Rahman itu, pegawai farmasi terlebih dulu menunjukkan kad kuasa sebelum memeriksa kediaman berkenaan yang baru diduduki setahun lalu.Jurucakap Farmasi berkata, pegawai farmasi yang menggeledah rumah terbabit mula musykil apabila mendapati satu bilik di tingkat bawah kediaman itu berkunci.Menurutnya, pemilik rumah itu yang mula resah cuba memberi alasan kononnya bilik terbabit hanya menyimpan barangan lama selain tidak tahu di mana kunci bilik itu ditinggalkan.“Namun, pegawai farmasi akhirnya menemui kunci bilik terbabit tersangkut di sebelah dinding berhampiran ruang tamu.

Sebaik bilik itu dibuka, pegawai farmasi terkejut apabila mendapati terdapat ratusan kotak dan botol produk ubat-ubatan seludup di dalamnya.“Semua produk terbabit disusun kemas di atas rak besi dan ada antaranya ditemui dibungkus kemas dipercayai baru diseludup masuk dari China. Malah, bahagian dapur rumah itu turut dimuatkan dengan pelbagai kotak berisi ubat-ubatan haram,” katanya.Pemilik rumah terbabit hanya mampu mengeluh sebelum mengakui terbabit dengan pengedaran produk seks dan ubatan tradisional haram dari China.Siasatan mendapati, antara produk seks dirampas pil harimau, Marathon plus, pil Da Ge, Levitra, Cialis dan pelbagai lagi ubatan penguat tenaga batin dari India.“Selain ubat-ubatan seks, pegawai farmasi turut menemui puluhan jenis ubat mengandungi antibiotik, steroid, antihistamanine, sildanafil dan lignocaine yang didapati diseludup masuk dari China.“Paling membimbangkan apabila kebanyakan ubat tradisional tidak berdaftar itu dikesan mengandungi steroid yang boleh mempercepatkan pereputan tulang dan menyebabkan tulang mudah patah,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan produk yang dirampas didapati menggunakan nombor pendaftaran MAL palsu selain mempunyai label ‘Hologram Meditag’ yang menyerupai label tulen.“Lelaki terbabit mengaku memalsukan label hologram untuk dilekatkan pada kotak ubat-ubatan seludup terbabit,” katanya.Taktik itu dilakukan bagi memudahkan peniaga terbabit menjual ubat-ubatan berkenaan di kedai ubat tradisional dan singseh di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.“Lelaki itu akan didakwa di mahkamah mengikut Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama,” katanya.Suspek juga boleh didakwa mengikut Akta Racun 1952 (Pindaan 1989) dan sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

Tuesday, January 29, 2008

Kes Penjualan Psikotropik



Kod rahsia jual pil khayal

KUALA LUMPUR: Gentar tindak-tanduknya dihidu pihak berkuasa, seorang doktor yang juga pemilik sebuah klinik swasta di Jinjang di sini, memperkenalkan kod sulit ‘biru’ dan ‘air’ kepada penagih dadah yang datang untuk membeli pil khayal di kliniknya. Kaedah itu diperkenalkannya sebagai kata laluan rahsia kepada penagih dadah dan ‘orang tengah’ yang datang ke kliniknya untuk membeli pil khayal jenis Subuxone, Dormicum dan Methadone. Penagih yang datang untuk membeli pil hanya perlu menyebut ‘biru’ yang merujuk kepada pil Subuxone dan Dormicum , manakala ‘air untuk mendapatkan Methadone. Jika penagih yang datang tidak menyebut kata laluan rahsia itu, permintaan mereka untuk membeli pil itu tidak akan dilayan.

Kod sulit itu dikesan pegawai Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan melalui risikan terhadap klinik berkenaan. Pemilik klinik itu juga dikesan menggunakan taktik mengedarkan pil psikotropik pada waktu awal pagi. Wartawan Harian Metro yang turut mengikuti operasi mendapati klinik berkenaan mula dikerumuni penagih dadah seawal jam 8 pagi. Sejurus doktor lelaki berusia 40-an terbabit muncul dan membuka pintu kliniknya sekitar jam 8.15 pagi, kumpulan penagih dan ‘orang tengah’ terbabit dilihat berpusu-pusu ke kaunter untuk membeli pil khayal. Operasi haram klinik berkenaan yang mula reda sekitar jam 9 pagi bagaimanapun diamati rapi pegawai penguat kuasa farmasi yang melakukan intipan sejak seminggu lalu. Selepas pasti dengan bukti penjualan pil khayal di klinik berkenaan, seramai lebih 10 pegawai Farmasi disertai Timbalan Pengarah Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Dr Salmah Bahri melakukan serbuan tepat pada jam 9.15 pagi.

Serbuan mengejut itu menyebabkan doktor terbabit terpinga-pinga sebelum pegawai penguat kuasa melakukan siasatan menyeluruh terhadap stor, bilik dan kawasan menyimpan ubat di klinik berkenaan. Jurucakap farmasi berkata, hasil soal siasat terhadap doktor terbabit yang mempunyai kelulusan dari Universiti Elberta, Kanada, dia mengaku menjual pil psikotropik kepada penagih dadah. “Siasatan mendapati doktor berkenaan turut menyembunyikan pelbagai jenis pil psikotropik lain antaranya Diazepam, Xanax dan Subutex di kliniknya. “Selain pemeriksaan di klinik, doktor berkenaan turut diminta membuka Proton Waja miliknya untuk diperiksa pegawai penguat kuasa farmasi,” katanya. Susulan pemeriksaan, pegawai penguat kuasa farmasi mengarahkan supaya doktor berkenaan menunjukkan lokasi kediamannya untuk siasatan lanjut. Bagaimanapun, doktor terbabit cuba berdolak-dalik dan enggan akur dengan arahan itu sambil memberi alasan ingin berbincang dahulu dengan peguamnya.

Namun selepas diberi amaran oleh Ketua Penolong Pengarah Farmasi Kuala Lumpur, Roeslan Ishak, doktor terbabit bersetuju menunjukkan lokasi kediamannya di Batu 3, Jalan Ipoh. “Pegawai farmasi yang turut dibantu dua anggota polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sebuah kondominium mewah milik doktor terbabit sebelum menemui lebih lima kotak besar berisi botol Methadone dan pelbagai pil psikotropik lain. “Pada masa sama isteri doktor terbabit seorang warga negara Kanada cuba mempertikaikan tindakan pegawai farmasi yang memeriksa rumah mereka. Bagaimanapun ‘gangguan’ itu gagal menghalang tindakan tegas pegawai farmasi merampas semua pil dan cecair psikotropik yang disimpan,” katanya. Menurutnya, hasil serbuan itu, penguat kuasa farmasi merampas 17 jenis pil dan cecair psikotropik yang dianggarkan bernilai hampir RM60,000.