Monday, February 25, 2008

Pengamal Perubatan Tradisional

Pada 15 Ogos 2007, Cawangan Penguatkuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CPF JKWPKL) telah membuat satu pemeriksaan mengejut ke atas sebuah premis yang mengamalkan perubatan tradisional ‘sinulogi’. Pemeriksaan tersebut dilakukan sejurus selepas pihak CPF menerima satu aduan daripada seorang pengguna yang telah menggunakan khidmat pakar ‘sinulogi’ tersebut selama setahun bagi merawati masalah ‘gout’ yang dihadapinya. Hasil daripada rawatan yang diterima, pengguna tersebut mendapati masalah gout yang dihadapinya berkurangan namun begitu muka beliau didapati semakin membengkak sepanjang proses perawatan tradisional ini. Oleh kerana bimbang akan keadaan ini, pengguna tersebut segera mendapatkan khidmat nasihat daripada ahli farmasi yang telah mencadangkan agar beliau menghentikan pengambilan ubat-ubatan pakar ‘sinulogi’ tersebut dan membuat aduan kepada CPF JKWPKL.

Semasa pemeriksaan ke atas premis tersebut dijalankan, didapati pusat rawatan pakar ‘sinulogi’ tersebut lengkap dengan kaunter ubat, bilik doktor dan bilik pemeriksaan. Selain itu, pusat tersebut juga dilengkapi dengan alatan-alatan perubatan seperti stetoskop, mesin tekanan darah merkuri dan alatan diagnostik lain yang biasanya digunakan oleh doktor. Hasil pemeriksaan juga mendapati premis tersebut menjual banyak ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan hampir 98% daripada ubat-ubatan tersebut diimport dari Negera China. Antaranya adalah:

  • Steroids
  • Antibiotik
  • Ubat darah tinggi
  • Ubat batuk dan selsema
  • Ubat psikotropik
  • Ubat ‘Anti Psychosis’
  • Ubat perangsang seks
  • Ubat kencing manis
  • Ubat penyakit ‘Gout’

Pemeriksaan terhadap ubat-ubatan yang dirampas menunjukkan kebanyakannya telah tamat tarikh luputnya dan perubahan warna pada kebanyakan ubat menunjukkan pembungkusan dan penyimpanan ubat-ubatan tersebut adalah tidak sesuai.Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam memilih pusat rawatan tradisional. Jika terdapat sebarang keraguan terhadap pusat rawatan tersebut, orang ramai dinasihatkan berhenti daripada mengunjungi dan membuat laporan kepada bahagian farmasi.

Kepada orang ramai yang telah membeli ubat-ubatan yang disyaki mengandungi racun berjadual atau produk-produk tidak berdaftar dinasihatkan untuk menghentikan pengambilan atau penggunaan produk-produk tersebut. Sila dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi yang berdekatan terlebih dahulu. Untuk sebarang aduan atau pertanyaan, sila hubungi pihak Bahagian Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di talian 03-26940701.

Pemeriksaan Pasar Malam

Cawangan Penguatkuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CPF JKWPKL) telah memulakan aktiviti pemeriksaan pasar malam di sekitar Kuala Lumpur bagi membasmi kegiatan penjualan racun berjadual dan produk tidak berdaftar kepada orang ramai. Antara pasar malam yang telah diperiksa adalah pasar malam di Kampung Pandan, Pantai Dalam dan Jalan Kuching. Hasil pemantauan oleh pihak CPF mendapati terdapat beberapa gerai peniaga yang menjual ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual dan produk tidak berdaftar kepada orang ramai. Apabila disoal-siasat kebanyakan daripada peniaga-peniaga tersebut memberi alasan mereka tidak mengetahui ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual dan produk yang tidak berdaftar tidak boleh dijual kepada orang ramai tanpa lesen atau permit yang sah.

Pihak CPF telah memberi penjelasan kepada peniaga-peniaga tersebut mengenai peraturan menjual ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual dan produk tidak berdaftar. Selain itu terdapat juga banyak produk tradisional yang disangka berasaskan herba dan ramuan tradisional tetapi kebanyakannya telah dicampuri dengan racun berjadual dan ini telah disahkan melalui analisis kimia. Nasihat dan tunjuk ajar juga diberikan kepada mereka agar tidak menyalahi undang-undang di masa akan datang.

Contoh ubat-ubatan yang mengandunig racun berjadual yang dirampas:

  • Ubat batuk
  • Ubat selsema
  • Ubat tahan sakit
  • Ubat perangsang seks
  • Ubat tahan gatal
  • Antibiotik

Contoh produk-produk tidak berdaftar yang dirampas:

  • Jamu
  • Pil Tuntas

Contoh produk-produk tradisional/herba yang dicampuri racun berjadual yang dirampas:

  • Air Ikan Haruan (dicampuri steroid)
  • Flu Tulang (dicampuri phenylbutazone)
  • Asam Urat (dicampuri phenylbutazone)
  • Pil Tupai (dicampuri steroid)

Peniaga-peniaga diingatkan bahawa pemilikan produk-produk tidak berdaftar bagi tujuan jualan adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Kepada orang ramai yang telah membeli ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual atau produk-produk tidak berdaftar dinasihatkan untuk menghentikan pengambilan atau penggunaan produk-produk tersebut. Sila dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi yang berdekatan terlebih dahulu. Untuk sebarang aduan atau pertanyaan, sila hubungi pihak Bahagian Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di talian 03-26940701.

Bahaya Penggunaan Ubat Perangsang Seks yang TAK bErdaftar

Lambakan ubat perangsang seks semakin berleluasa di kaki-kaki lima jalan. Ubat-ubat yang diragui kendungannya itu amat merbahaya kepada para pengguna. Orang awam dinasihatkan agar tidak mengunjungi atau membeli ubat-ubat perangsang seks yang dijual di kaki-kaki lima Ini kerana ubat-ubatan yang dijual di kawasan-kawasan ini kebanyakannya mengandungi racun berjadual yang mana penjualannya hanya boleh dilakukan oleh doktor atau ahli farmasi yang memiliki lesen yang sah sahaja. Analisis kimia juga telah membuktikan kebanyakan ubat-ubatan ini mengandungi racun berjadual seperti sildenafil, taladafil, alprostadil dan vardenafil. Penggunaan ubat-ubat perangsang seks yang mengandungi racun berjadual tersebut tanpa arahan doktor atau ahli farmasi boleh membawa kesan yang memudaratkan. seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Lorong Haji Taib dan Jalan Pudu.

Sebagai contoh, bagi mereka yang mempunyai masalah jantung atau kerap mengalami kesakitan atau ketidakselesaan di bahagian dada adalah tidak sesuai untuk menggunakan pil perangsang seks kerana penggunaan pil tersebut boleh menyebabkan masalah jantung dan mungkin mengakibatkan kematian. Selain itu, terdapat juga laporan di mana pengguna yang tidak mempunyai masalah seksual tetapi atas alasan ingin mencuba pil tersebut akhirnya mengalami masalah mati pucuk. Ini terjadi disebabkan kandungan dos racun berjadual yang terdapat di dalam pil tersebut tidak mengikut piawaian yang dibenarkan. Di samping itu, penghasilan ubat-ubatan ini selalunya dilakukan oleh pengeluar tidak berdaftar di mana proses pengilangannya tidak mengikut garis panduan “Amalan Pengilangan Baik” (GMP). Kegagalan mengikut garis panduan GMP ini menyebabkan pengeluaran produk ubat-ubatan tersebut terdedah kepada masalah-masalah seperti dos yang tidak tepat, kualiti produk yang rendah, dan tahap kebersihan dan keselamatan produk yang tidak terjamin.

Oleh itu, kepada pengguna yang ingin menggunakan pil perangsang seks haruslah mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor atau ahli farmasi berdekatan terlebih dahulu. Perlu diingatkan agar pengguna tidak mengambil jalan mudah dengan mengunjungi gerai-gerai di kaki-kaki lima yang menjual produk-produk tersebut. Peniaga-peniaga diingatkan bahawa pemilikan produk-produk tidak berdaftar bagi tujuan jualan adalah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebhi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Kepada orang ramai yang telah membeli ubat-ubatan yang disyaki mengandungi racun berjadual atau produk-produk tidak berdaftar dinasihatkan untuk menghentikan pengambilan atau penggunaan produk-produk tersebut. Sila dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi yang berdekatan terlebih dahulu. Untuk sebarang aduan atau pertanyaan, sila hubungi pihak Bahagian Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di talian 03-26940701.