Monday, February 25, 2008

Pemeriksaan Pasar Malam

Cawangan Penguatkuasa Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CPF JKWPKL) telah memulakan aktiviti pemeriksaan pasar malam di sekitar Kuala Lumpur bagi membasmi kegiatan penjualan racun berjadual dan produk tidak berdaftar kepada orang ramai. Antara pasar malam yang telah diperiksa adalah pasar malam di Kampung Pandan, Pantai Dalam dan Jalan Kuching. Hasil pemantauan oleh pihak CPF mendapati terdapat beberapa gerai peniaga yang menjual ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual dan produk tidak berdaftar kepada orang ramai. Apabila disoal-siasat kebanyakan daripada peniaga-peniaga tersebut memberi alasan mereka tidak mengetahui ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual dan produk yang tidak berdaftar tidak boleh dijual kepada orang ramai tanpa lesen atau permit yang sah.

Pihak CPF telah memberi penjelasan kepada peniaga-peniaga tersebut mengenai peraturan menjual ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual dan produk tidak berdaftar. Selain itu terdapat juga banyak produk tradisional yang disangka berasaskan herba dan ramuan tradisional tetapi kebanyakannya telah dicampuri dengan racun berjadual dan ini telah disahkan melalui analisis kimia. Nasihat dan tunjuk ajar juga diberikan kepada mereka agar tidak menyalahi undang-undang di masa akan datang.

Contoh ubat-ubatan yang mengandunig racun berjadual yang dirampas:

  • Ubat batuk
  • Ubat selsema
  • Ubat tahan sakit
  • Ubat perangsang seks
  • Ubat tahan gatal
  • Antibiotik

Contoh produk-produk tidak berdaftar yang dirampas:

  • Jamu
  • Pil Tuntas

Contoh produk-produk tradisional/herba yang dicampuri racun berjadual yang dirampas:

  • Air Ikan Haruan (dicampuri steroid)
  • Flu Tulang (dicampuri phenylbutazone)
  • Asam Urat (dicampuri phenylbutazone)
  • Pil Tupai (dicampuri steroid)

Peniaga-peniaga diingatkan bahawa pemilikan produk-produk tidak berdaftar bagi tujuan jualan adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Kepada orang ramai yang telah membeli ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual atau produk-produk tidak berdaftar dinasihatkan untuk menghentikan pengambilan atau penggunaan produk-produk tersebut. Sila dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi yang berdekatan terlebih dahulu. Untuk sebarang aduan atau pertanyaan, sila hubungi pihak Bahagian Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di talian 03-26940701.

No comments: