Thursday, January 31, 2008

Ubat Perangsang Seks Palsu


KAJANG: Dilihat dari halaman rumah ia tampak seperti kediaman biasa, namun sebuah rumah di Bandar Mahkota di sini, menyimpan rahsia menggemparkan apabila dikesan menjadi ‘gudang’ rahsia ratusan jenis ubat-ubatan perangsang seks haram bernilai hampir RM1 juta.Difahamkan pemiliknya, menjadikan rumah teres dua tingkat terbabit yang dibeli di lokasi tersorok sebagai pusat penyimpanan produk Viagra, Cialis, Levitra tiruan selain pelbagai kapsul perangsang seks yang diseludup dari luar negara.

Risikan hampir sebulan mendapati pemilik rumah terbabit yang bekerja di sebuah kedai ubat menjadi dalang utama mengedarkan semua ubat perangsang seks haram ke seluruh negara.Dia yang mendiami rumah itu bersama isteri dan bayinya berusia lapan bulan turut didapati bertanggungjawab memalsukan logo hologram Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara besar-besaran untuk ditampal sesuka hati pada kotak produk bagi mengelirukan pengguna. Kegiatan lelaki berusia 30-an itu akhirnya terbongkar selepas sepasukan 40 pegawai Bahagian Penguat kuasa Farmasi KKM menyerbu rumah terbabit jam 11 pagi, semalam.

Dalam serbuan yang diketuai Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Eisah Abdul Rahman itu, pegawai farmasi terlebih dulu menunjukkan kad kuasa sebelum memeriksa kediaman berkenaan yang baru diduduki setahun lalu.Jurucakap Farmasi berkata, pegawai farmasi yang menggeledah rumah terbabit mula musykil apabila mendapati satu bilik di tingkat bawah kediaman itu berkunci.Menurutnya, pemilik rumah itu yang mula resah cuba memberi alasan kononnya bilik terbabit hanya menyimpan barangan lama selain tidak tahu di mana kunci bilik itu ditinggalkan.“Namun, pegawai farmasi akhirnya menemui kunci bilik terbabit tersangkut di sebelah dinding berhampiran ruang tamu.

Sebaik bilik itu dibuka, pegawai farmasi terkejut apabila mendapati terdapat ratusan kotak dan botol produk ubat-ubatan seludup di dalamnya.“Semua produk terbabit disusun kemas di atas rak besi dan ada antaranya ditemui dibungkus kemas dipercayai baru diseludup masuk dari China. Malah, bahagian dapur rumah itu turut dimuatkan dengan pelbagai kotak berisi ubat-ubatan haram,” katanya.Pemilik rumah terbabit hanya mampu mengeluh sebelum mengakui terbabit dengan pengedaran produk seks dan ubatan tradisional haram dari China.Siasatan mendapati, antara produk seks dirampas pil harimau, Marathon plus, pil Da Ge, Levitra, Cialis dan pelbagai lagi ubatan penguat tenaga batin dari India.“Selain ubat-ubatan seks, pegawai farmasi turut menemui puluhan jenis ubat mengandungi antibiotik, steroid, antihistamanine, sildanafil dan lignocaine yang didapati diseludup masuk dari China.“Paling membimbangkan apabila kebanyakan ubat tradisional tidak berdaftar itu dikesan mengandungi steroid yang boleh mempercepatkan pereputan tulang dan menyebabkan tulang mudah patah,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan produk yang dirampas didapati menggunakan nombor pendaftaran MAL palsu selain mempunyai label ‘Hologram Meditag’ yang menyerupai label tulen.“Lelaki terbabit mengaku memalsukan label hologram untuk dilekatkan pada kotak ubat-ubatan seludup terbabit,” katanya.Taktik itu dilakukan bagi memudahkan peniaga terbabit menjual ubat-ubatan berkenaan di kedai ubat tradisional dan singseh di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.“Lelaki itu akan didakwa di mahkamah mengikut Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama,” katanya.Suspek juga boleh didakwa mengikut Akta Racun 1952 (Pindaan 1989) dan sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

No comments: